.

.

Friday, 13 September 2013

~ Orang Kurus Ada Kolestrol ~

“KOLESTEROL tinggi? Makanan berlemak boleh menyumbatkan salur darah? Orang kurus pun berisiko sakit jantung? Biar betul. Takutnya.”
Ramai orang takut apabila memperkatakan mengenai kolesterol dan mula mengambil beberapa langkah untuk mengurangkan paras kolesterol dalam badan. Namun begitu, tahukah anda perasaan takut mengenai kolesterol akan terus menghantui hidup anda seandainya anda masih tidak mampu mengamalkan cara hidup sihat?
Tetapi jangan bimbang kerana kata kuncinya mudah saja, anda hanya perlu mengamalkan diet atau pemakanan seimbang serta menjalani kehidupan aktif untuk mengawal paras kolesterol sekali gus mengawal berat badan. 

Nampak senang bukan? Namun sebenarnya dua perkara ini acapkali sukar dilakukan kerana kebanyakan kita sering terpengaruh dengan dorongan nafsu yang tinggi. Apatah lagi, Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan termasuk jenis bergoreng dan bersantan, termasuk hidangan pencuci mulut seperti kek, coklat dan ais krim. Faktor kerap mengamalkan makanan tinggi lemak antaranya organ dalaman, daging merah, makanan laut dan telur kuning juga mampu menjadi faktor penyumbang terbesar kepada peningkatan paras kolesterol dalam darah.
Foto
RAJAH...ikuti pemakanan mengikut piramid makanan seimbang.

Namun bijakkah anda sekiranya menyalahkan faktor pemakanan apabila rawatan menunjukkan paras kolesterol anda melebihi daripada aras sepatutnya? Bukankah anda boleh memilih untuk menentukan tahap kesihatan sendiri dan bukannya orang lain?

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pusrawi, Nurul Farhanah Md Fozi, anda adalah apa yang anda makan dan tiada jalan pintas untuk mendapat kesihatan sempurna melainkan menerusi pemakanan seimbang dan menjalani kehidupan aktif.

Kata-kata ini memang ada benarnya kerana punca utama sesuatu penyakit itu biasanya daripada pemakanan dan masalah pemakanan ini boleh dikawal menerusi pendedahan kesihatan serta disiplin diri yang tinggi. Oleh itu, pengawalan pemakanan individu perlu selari dengan prinsip makanan seimbang dan sihat mengikut piramid makanan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

“Ini boleh dilakukan dengan pengambilan makanan tinggi antioksidan yang kaya vitamin A, C dan E serta zink, selenium dan beta karotina. Jumlah pengambilan makanan berserat secukupnya juga mampu menghalang pelekatan kolesterol pada salur darah manakala makanan tinggi antioksidan mampu meneutralkan kandungan darah dalam badan,” katanya.

Ramai sering beranggapan kolesterol hanya bersifat ‘jahat’ kerana membawa kemusnahan pada tubuh walhal pada dasarnya, kolesterol adalah sejenis bahan molekul lekit, seakan-akan lemak yang terdapat secara semula jadi dalam aliran darah serta sel tubuh badan. Kolesterol ini juga penting kerana menjadi sumber penghasilan sel tisu membran, hempedu, sesetengah hormon dan vitamin D dalam tubuh badan. 

“Namun awas, aras kolesterol berlebihan juga boleh mendatangkan mudarat kerana berkemungkinan besar akan menyumbatkan dinding salur darah arteri lalu menyebabkan pengaliran darah menjadi perlahan dan terganggu. Keadaan sebegini amat merbahaya kerana boleh mengakibatkan berlakunya serangan jantung koronari,” katanya.

Menurutnya, molekul kolesterol darah ini berasal daripada dua sumber iaitu sintesis tubuh badan (melalui hati dan usus) dan juga diet harian seseorang. Kolesterol terbahagi kepada dua jenis iaitu kolesterol ‘baik’ dan ‘jahat’. Kolesterol jenis lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) adalah sejenis ‘kolesterol baik’ yang akan membawa kolesterol dari seluruh saluran darah ke organ hati kemudian hati akan memproses kolesterol untuk dikeluarkan dari tubuh. 

“Lebih tinggi paras HDL, kolesterol yang tersimpan di dalam salur darah arteri akan berkurang dan ini akan melindungi fungsi dan tahap kesihatan jantung. Sebalik­nya, ‘kolesterol jahat’ atau liporotein berketumpatan rendah (LDL) pula akan membawa kolesterol dari hati ke saluran darah di seluruh tubuh. Jadi, apabila semakin tinggi paras LDL di dalam badan, ini akan menyebabkan banyak kolesterol tersimpan di dalam salur darah. 

“Ini memungkinkan pengumpulan dan penyumbatan kelompok kolesterol di dalam salur arteri seterusnya menghalang darah daripada mengalir lancar ke jantung. Hal ini meningkatkan risiko serangan jantung, strok dan kematian mengejut,” katanya. 

Bacaan paras kolesterol boleh diperoleh melalui hasil profil lipid daripada ujian darah. Seseorang itu dikatakan mempunyai masalah kolesterol tinggi (hypercholesterolemia) apabila mempunyai bacaan jumlah kolesterol melebihi paras normal iaitu 5.2 mmol/L dan jumlah aras kolesterol LDL darah melebihi 2.6 mmol/L.

Terdapat beberapa golongan berisiko yang boleh mendapat paras kolesterol tinggi seperti individu yang mempunyai berat badan berlebihan atau obes, mempunyai sejarah penyakit metabolik (diabetes, penyakit tekanan darah tinggi dan serangan jantung), mempunyai sejarah keluarga yang turut mempunyai masalah kolesterol dan penyakit jantung, individu yang kurang aktif serta perokok tegar.

Menurut Nurul Farhanah, amalan pemakanan sihat dan seimbang dengan pengambilan hidangan lengkap bercirikan bijirin penuh berserat, jenis protein yang betul, sayur-sayuran dan buah-buahan yang mengandungi serat dan antioksidan yang tinggi serta lemak yang sihat mampu membantu menurunkan paras kolesterol dalam darah. Antara saranannya adalah:


1. Makanan bijirin penuh dan tinggi serat

Makanan berserat kaya dengan serat larut yang dapat membantu menurunkan kolesterol tidak baik (LDL) dari dalam tubuh. Serat ini berfungsi seperti span yang menyerap kolesterol dan membuangnya bersama pembuangan sisa perkumuhan seharian. Sejumlah 10 gram hingga 15 gram serat larut yang diambil setiap hari mencukupi untuk menurunkan kadar LDL. Serat larut boleh ditemui dalam pisang, kacang buncis, barli, epal, prun dan pear.

Oat mengandung beta-glukan, yang membantu menyingkirkan kolesterol jahat. Untuk mendapatkan hasil terbaik, kita boleh membiasakan diri dengan menggantikan sarapan oat setiap hari. Minum dua gelas susu bersama sekurang-kurangnya tiga sudu makan oat setiap hari dapat menurunkan paras kolesterol.


2. Ikan dan asid lemak poli-tidak tepu omega-3

Kita disarankan memakan hidangan protein jenis ikan sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali seminggu. Asid lemak tidak tepu omega-3 yang terkandung dalam ikan ini dikatakan mampu menurunkan paras kolesterol dalam badan. Di samping itu, omega-3 juga boleh menurunkan tekanan darah dan mengurangkan risiko pembekuan darah. 

Antara jenis ikan yang tinggi kandungan asid lemak tidak tepu ini adalah ikan laut dalam iaitu tuna, salmon, cencaru, sardin dan kembung. Sebaik-baiknya ikan ini disediakan dengan cara masakan yang dibakar, dipanggang, ditumis, dimasak sup atau dikukus.


3. Kekacang badam, walnut, pistachio dan soya

Kajian menunjukkan sesetengah protein jenis kekacang mampu menurunkan paras kolesterol dalam darah kerana mengandungi asid lemak tidak tepu yang tinggi. Asid lemak ini membantu menjadikan dinding pembuluh darah yang sihat dan bebas daripada pelekatan kolesterol. 

Namun begitu, umumnya kekacang mengandungi kalori yang agak tinggi. Kajian menunjukkan pengambilan kacang jenis pistachio pada kadar 40 hingga 50 gram sudah cukup untuk memberikan kebaikan kepada jantung. 

Tetapi awas kerana pengambilan secara berlebihan boleh mengakibatkan kegemukan sekali gus meningkatkan risiko serangan jantung. Sebaiknya, bersederhana dalam pengambilan jenis kekacang ini.

Makan atau minum soya sebanyak 20 hingga 30 gram setiap hari mampu mengurangi paras kolesterol. Ada banyak pilihan makanan yang berasaskan kacang soya seperti tauhu dan tempe.


4. Buah-buahan kaya antioksidan mengandungi vitamin A, C dan E

Buah-buahan sitrus masam seperti mangga, belimbing, oren, strawberi dan kiwi mengandungi vitamin C yang tinggi serta berupaya mencegah pelekatan kolesterol dalam salur darah. Sayuran dan buah berwarna terang seperti brokoli, tomato, lada benggala, labu kuning, ubi, buah zaitun, avokado, betik, aprikot dan sayuran berdaun mempunyai kandungan antioksidan seperti beta karotina, vitamin A dan E.

Panduan penjagaan lemak dan kolesterol mestilah saling berkaitan dengan prinsip pemakanan sihat mengikut piramid makanan Malaysia. 

Berikut antara cara yang boleh dilakukan untuk memastikan tahap penjagaan kolesterol dan lemak terkawal.

  • Elakkan pengambilan lemak trans seperti makanan diproses dan hidrogenasi seperti kek, biskut, snek pastri, sosej, nuget, burger, donut dan makanan lain yang mengandungi kolesterol jahat LDL yang akan merendahkan kolesterol baik HDL. Sebaiknya, pilih makanan komersial terproses berlabel tiada lemak trans setiap kali anda membeli-belah di pasar raya.

  • Kurangkan kekerapan pengambilan makanan tinggi kolesterol seperti organ dalaman haiwan (hati, limfa, jantung, pedal dan otak), makanan laut (ketam, sotong, udang dan segala jenis kerang) dan jenis daging merah.

  • Kurangkan pengambilan telur ini kerana sebiji kuning telur ayam mengandungi kira-kira 275 hingga 300 miligram (mg) kolesterol manakala kuning telur itik mengandungi 375 mg kolesterol. 

    Justeru anda disarankan hanya mengambil dua biji kuning telur saja dalam seminggu. Sebaiknya, pilih telur ayam jenis rendah kolesterol.

  • Pilih sapuan lemak jenis marjerin lembut yang mempunyai lemak tidak tepu seperti sapuan kanola atau lemak sayuran untuk sapuan pada roti. Sapuan mentega dihasilkan daripada sumber haiwan, maka ini boleh meningkatkan aras lemak dan kolesterol dalam darah.

  • Tukar pengambilan susu penuh berkrim atau susu segar dengan susu rendah lemak atau susu skim. Gantikan juga santan dalam masakan kepada jenis susu ini. Krimer dan susu pekat manis yang sering digunakan dalam minuman seharian harus dihadkan pengambilannya kerana ia tinggi lemak tepu daripada minyak kelapa sawit yang boleh meningkatkan risiko salur darah tersumbat.

  • Pilih kepelbagaian dalam makanan harian. Makanan bergoreng, berminyak dan bersantan perlu dihadkan pengambilannya dalam seminggu. Jadikan tabiat membuang lemak dan kulit pada daging ayam sebelum memasak. Seeloknya, gunakan sedikit minyak ketika memasak dan pelbagaikan jenis masakan rebus, panggang, kukus, rebus serta menggunakan ketuhar gelombang mikro selain menggoreng. 


    Apa yang boleh anda lakukan:

    Seharusnya kalori atau ­tenaga yang dimakan harus sama dengan tenaga yang 
    dibakar menerusi aktiviti ­harian. Ini bererti sekiranya kita makan 200 kalori makanan bermakna kita harus ­berlari sehingga hilang 200 kalori. 

    Lakukan aktiviti fizikal yang mengeluarkan peluh dan ­menggerakkan otot seperti berjoging, berbasikal, berenang atau melakukannya di gimnasium. Senaman juga mampu membuatkan badan berpeluh serta jantung berdegup kencang dan ini sangat baik untuk kesihatan badan.
    Artikel ini disiarkan pada : 2012/04/08
  • No comments:

    Post a Comment