.

.

Friday, 18 October 2013

~ SENTIASA IKHLAS BERSEDEKAH ~



Selain daripada sedekah wajib iaitu zakat harta, zakat fitrah dan sebagainya, umat Islam umumnya digalakkan memberi sedekah sunat sebagai tanda bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT.

Setiap pemberian sedekah akan diberikan ganjaran pahala sekiranya dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata. Bahkan fadhilat atau kelebihan bersedekah adalah meliputi dunia dan akhirat.

Terdapat tiga kebaikan bersedekah iaitu :

1. Di panjangkan umur.

2. Mencegah daripada mati dalam keadaan teruk.

3. Dapat menghapuskan dengan sedekah itu sifat sombong, takbur dan membanggakan diri.




Adalah perlu diambil ingatan bahawa jika kita bersedekah, maka hendaklah disertai dengan keikhlasan, bukan dengan mengungkit-ungkit dan menyakiti orang yang menerima sedekah atau derma kerana perbuatan sedemikian hukumnya adalah haram dan merosakkan amalan bersedekah itu. Hal ini ada dijelaskan dalam Al-Quran sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah ayat 24 yang tafsirnya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan pahala amalan sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan kelakuan yang menyakiti seperti rosaknya pahala amalan sedekah orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak) dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu seperti batu licin yang ada tanah di atasnya kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu, mereka tidak akan mendapat sesuatu pahala pun dari apa yang mereka usahakan. Dan ingatlah Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir".

Sesungguhnya sedekah yang diberikan secara sembunyi adalah lebih utama dan afdal, ibarat tangan kanan yang memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Kerana perbuatan itulah yang dekat kepada keikhlasan dan jauh dari perasaan riak. Kerana sifat riak atau sifat menunjuk-nunjuk boleh merosakkan amalan sedekah. Tiada gunanya bersedekah jika mahu mendapat pujian orang dan mahu dikatakan seorang pemurah kerana dengan keikhlasan sahajalah ganjaran pahala akan diperolehi.

Ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya akan menambah harta dan menjauhkan kekurangan dan kesempitan. Mudah-mudahan segala amal perbuatan kita akan mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala, Amin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba' ayat 39 yang tafsirnya :

"Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki".

No comments:

Post a Comment